SMK Rantau
ditubuhkan pada tahun 1965 untuk menampung keperluan pelajar
di kawasan Rantau yang terpaksa ke Seremban untuk bersekolah
menengah. Pada peringkat awal, sekolah ini menumpang di
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua (SRJK (C)
Chung Hua), Rantau yang hanya diadakan pada sesi petang.
Pada ketika itu, jumlah pelajar hanyalah 234 orang yang
terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan.
Permulaannya,
terdapat 6 kelas sahaja dalam dua aliran iaitu aliran Melayu
dan Inggeris. Pada tahun 1966, bilangan pelajar semakin
meningkat melebihi 400 orang pelajar. Keadaan kelas yang
tidak mencukupi ini menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa
ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Akhir Zaman kerana
SRJK (C) Chung Hua tidak mampu lagi menampung bilangan
pelajar yang semakin meningkat.
Pada tahun 1968, SMK
Rantau telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Linsum.
Walaupun kawasan sekolah mempunyai keluasan 10 ekar tetapi
bangunan tersebut masih belum dapat menampung pelajar yang
telah meningkat kepada 640 orang. Oleh itu, terdapat
sebilangan pelajar yang ditumpangkan di SK Rantau B yang
terletak di sebelah sekolah ini. Pada tahun berikutnya, 2
buah makmal, 10 buah bilik darjah, dan 4 buah rumah guru
telah dibina.
Pada 16 September
1969, SMK Rantau telah dibuka dengan rasminya oleh Yang
Berhormat Tan Sri Dato’ Patinggi Abdul Rahman Bin Yaakob,
Menteri Pelajaran pada masa itu. Pada tahun 1980, SMK Rantau
telah dijadikan sekolah gred A.
Pada tahun 1999, sekolah
telah menerima sebuah lagi bangunan baru setinggi empat
tingkat yang dilengkapi dengan sebuah pusat sumber di
tingkat empat, sebuah dewan, sebuah bilik persediaan, 10
buah bilik darjah dan 6 buah bilik tandas.
Sekolah Menengah
Kebangsaan Rantau (SMK Rantau) merupakan salah sebuah
sekolah yang terkenal di kawasan Rantau. Sekolah ini juga
telah melahirkan ramai tokoh tempatan, ahli sukan dan tokoh
korporat terkenal. Hari ini sekolah ini masih meneruskan
tradisi kecemerlangannya.
SMK Rantau telah melahirkan ramai
murid yang berjaya dalam pelbagai bidang. Ada antaranya
menjadi ahli politik, ahli sukan, ahli perniagaan yang
berjaya dan banyak lagi. Antara yang tersohor ialah Dato’
Seri Utama Hj. Mohamad Bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri
Sembilan dan Dato’ Abd. Ghani Bin Hj. Hassan iaitu bekas
ADUN kawasan Rantau.
Sekolah ini terletak di
Jalan Linsum kawasan Rantau dalam daerah Seremban. Jarak
dari ibu negeri Seremban ialah 25 KM. Sekolah ini
dikelilingi oleh kawasan estet kelapa sawit dan getah milik
Estet Linsum. Pekan Rantau terletak kira-kira 3 KM dari
sekolah ini.
Terdapat sebuah sekolah rendah berhampiran
iaitu Sekolah Kebangsaan Dato’ Raja Melana dan sebuah
sekolah menengah iaitu SMK Dato’ Shamsuddin Nain. Rata-rata
pelajar sekolah ini berasal dari kawasan Rantau, Siliau,
Linggi, Kuala Sawah, dan Ulu Rantau. kebanyakan penjaga
pelajar bekerja sendiri, penoreh getah, pekerja ladang,
kakitangan swasta dan kerajaan.
SMK Rantau melalui zaman
kegemilangan dalam bidang sukan. Di Daerah Seremban SMK
Rantau merupakan sekolah yang menguasai acara balapan jarak
jauh dan merentas desa.
SMK Rantau pernah menghasilkan
pemain bola sepak kebangsaan seperti Dato’ Abdul Ghani Mihat. Beberapa orang bekas pelajar SMK Rantau juga kini
telah menaburkan bakti sebagai guru di SMK Rantau seperti
Cik Mariam Binti Hj. Ibrahim, En. Wahid Bin Baharudin, Pn. Nor Kamsiah Binti Kassim,
En. Selvarajah, En. Kumaran, dan Pn. Norhaniza Binti
Rejab. |